Wednesday, November 10, 2010

selamat 'panjang umur'!


“Selamat pendek umur,” saya bergurau.
Sahabat saya agak tersentak, namun tetap senyum. Dia faham, saya hanya bergurau.
“Kenapa pula?” tanyanya. Dia kelihatan ceria. Hari ini ulang tahun hari kelahirannya. Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.


“Yalah, bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu.” 


“Makna, semakin hari semakin pendeklah umur kita?” tingkahnya penuh pengertian.
“Ya, hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.”
“Pelik, selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup. Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Sekarang kita bercakap tentang kematian pula.”
“Siapa yang tidak bercakap tentang mati akan ‘mati’,” balas saya.
“Kenapa pula?”
“Hukama berkata, sesiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”
“Untuk apa kita mati?”
“Untuk hidup,” kilas saya lagi, sekadar bermain kata, bersilat bahasa untuk meninggikan makna.
Dia diam. Menung dan alam fikirnya telah terusik barangkali.



“Mati untuk hidup?”
“Ya, mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya satu permulaan.”
“Satu permulaan? Maksud kau?”
“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. Kau masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang aku sering ungkapkan dulu?”
“Hampir terlupa. Waktu di kampus dulu?”
“Umar berkata, manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Terkesima dia. Jari-jarinya mula menepuk-nepuk meja. Perlahan. Tetapi saya yakin gerakan mindanya makin laju. Dia biasa begitu.



“Jadi, hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?”
Wah, saya pula yang terkejut mendengar liuk lentok bahasanya. Berputar-putar seputar maknanya.
“Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup yang fana ini, demi kelangsungan hidup yang baqa itu.”


“Jika demikian apa ada pada umur?”
“Umur hanyalah putaran suria, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arloji,” balas saya. Seronok sekali sekala, berbual dengan bahasa berbunga di sulam kosa kata yang berputik dan berbuah...



“Ah, surah al-Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup. Syuhada mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar saya mengalih arus perbualan.



“Benarlah kata ahli sejarah, para sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana terlalu mencintai hidup.” 



“Wah, terlalu panjang perbualan kita petang ini. Apa pun aku ingin mengucapkan ‘selamat panjang umur’ sempena hari lahir kau yang ke-40 tahun hari ini,” pintas saya sambil bangun. Jam telah menunjukkan pukul 6 petang. Hari semakin pendek.



“Eh, tadi kau kata ‘selamat pendek umur’, sekarang dah bertukar balik seperti ucapan biasa yang aku dengar, selamat panjang umur?” dia bertanya hairan.



“Eh, kau lupa agaknya. Maksud ‘panjang umur’ku berbeza daripada biasa. Maksudku, selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silaturahim, selamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah. Iulah maksud selamat panjang umur!” 

*To Kak Sarah, may Allah bless you dunia akhirat, HAPPY BIRTHDAY! :)

4 comments:

Anonymous said...

hehe..spesel sggh tuk akk sorang ni ek..like2...hee

Anonymous said...

nice entry...
x terfikir sblm ni.

k.sarah said...

wahhhh...hehe jzkk, thanks a lot atas doa n very nice entry ni..
hikhik terharu ler sy.

selamat 'panjang umur' juga untuk semua. :D

aku Zaty said...

kata-kata yang sangat mendalam! :)