Suatu ketika, seorang alim pernah ditanya, "Apakah tuan tidak teringin untuk melakukan dosa?"
"Siapa yang tak teringin buat dosa? Boleh bermalas-malas ketika waktu solat sudah tiba, boleh berseronok dengan perempuan yang bukan hak milik kita, boleh makan tak kira halal haram asalkan sedap. Semua itu menyeronokkan," jawab orang alim itu.
"Kalau begitu, mengapa tuan menahan diri daripada semua keseronokan tersebut?"
"Perumpamaannya beginilah. Saya pergi ke sebuah restoran mahal, ternama, terkenal dan sedap. Nafsu saya meronta-ronta hendak makan semua makanan di situ. Ada ikan besar, udang besar, sotong besar, semunya besar. Tapi malangnya saya tak mampu nak bayar."
"Maksudnya?"
"Maksudnya, atas dunia ini kalau nak, saya boleh saja buat seberapa banyak dosa sesuka hati. Saya boleh saja berseronok setiap masa selagi dunia belum kiamat. Tapi saya bimbang saya tak mampu nak bayar harga semua dosa itu di akhirat nanti. Dengan apa saya nak bayar jika tak ada amalan?"
Maka fahamlah lelaki yang bertanya pada orang alim tersebut. Seboleh-bolehnya, sesiapa pun mahu hidup berseronok di atas dunia ini. Tetapi tiada siapa pun yang mampu membayangkan azab seksa di akhirat, akibat daripada segunung dosa ketika atas dunia...
"Sesiapa yang bertaqwa (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala yang menyusahkan) dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka" (At-Talaq:2-3)
0 comments:
Post a Comment