Tuesday, August 30, 2011

::Eid day *what should & shouldn't we do*::



RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbala Allahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.


RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa 
yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

Selamat Hari Raya Idil Fitri
"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"

original source: http://www.zaharuddin.net/content/view/612/72/

Thursday, August 25, 2011

Ibadah 10 Terakhir Ramadhan Bagi Wanita Haid



“Aduhai, tak boleh pulak nak beribadah di 10 terakhir Ramadhan ni…”  isteri saya mengadu kepada saya dengan nada sedikit kecewa.
Kesian pula saya melihatnya.  Saya faham sangat apa yang terpaksa dihadapi beliau.  Tentunya semangat beliau berkobar-kobar ingin memenuhi 10 terakhir Ramadhan ini dengan ibadah-ibadah sunnat.  Namun, apakan daya.  Ia taqdir ALLAH yang seseorang itu mesti redha.  Saya lalu menasihati beliau dengan beberapa nasihat yang mudah-mudahan dengan nasihat itu bisa menaikkan semula semangat beliau untuk beribadah di 10 terakhir Ramadhan walaupun dalam keadaan ‘uzur’.
Berikut adalah beberapa nasihat yang wajar diamati oleh para muslimah sekiranya didatangi haid sedangkan di dalam hati bersemangat hendak beribadah.  Disenarai juga beberapa ibadah yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika haid.

1.  Redha dengan ketentuan ALLAH

Mempunyai perasaan redha terhadap ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati seseorang mukmin.  Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha ALLAH.  Sifat redha akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan bersangka baik dengan Tuhannya.  Dan sifat redha ini adalah sifat yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH.  Bukan senang seseorang itu hendak redha.  Justeru, redhalah.  Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH.
Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya.

2.  Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan

Memang ibadah terbaik di waktu seperti malam adalah solat-solat sunnat.  Namun, disebabkan oleh wanita-wanita haid tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari ibadah lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tidak dibiarkan begitu sahaja.  Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah:
  • Membaca ayat-ayat al-Quran dan terjemahannya tanpa memegang mushaf al-Quran.  (Rujuk fatwa di sini.)
  • Dzikrullah iaitu mengingati ALLAH samada melalui lidah, hati atau perbuatan.  Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali seperti:
    • “SubhanAllah” (Maha Suci ALLAH)
    • “Alhamdulillah” (Segala Puji Bagi ALLAH)
    • “Allahu Akbar” (ALLAH Maha Besar)
    • “La Ilaha illa ALLAH” (Tiada Tuhan selain ALLAH)
    • “SubhanAllahi wabihamdih, SubhanAllahil`Azim” (Maha suci ALLAH dengan segala pujian kepadaNYA, Maha suci ALLAH Yang Maha Agung)
    • “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
    • Dan lain-lain lagi.
  • Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar.  Ucaplah“Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali.  Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin.
  • Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.  Berdoa juga adalah ibadah.
  • Bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
  • Muhasabah diri.
  • Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.
Tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan ibadah berjaga malam walaupun sedang mengalami haid.  Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadhan.  Kerana di dalamnya kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar.  Oleh itu, janganlah ditinggal terus dari beribadah pada waktu malam walaupun anda sedang didatangi haid.

3.  Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh.
  • Menghadiri majlis-majlis ilmu.
  • Menjauhi perbuatan-perbuatan syubhah dan haram terutama yang melibatkan lidah.
  • Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar.
  • Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama.
  • Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa.  InsyaALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu.
  • Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.
  • Membantu orang yang kesusahan.
  • Menyebarluaskan salam.
  • Dan banyak lagi tidak terkira.
Itulah antara sebahagian yang sempat saya fikirkan untuk dimanfaatkan oleh wanita-wanita yang berada di luar sana.  Menurut isteri saya, memang ramai wanita yang tidak sedar akan ibadah-ibadah lain yang ada di dalam ISLAM.  Mereka ingat hanya solat dan puasa sahaja ibadah.  Ketidaksedaran ini membuatkan para wanita yang didatangi haid mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan.  Terbuanglah peluang begitu sahaja, malah ada yang tidur sahaja disebabkan oleh pada anggapan mereka bahawa mereka tidak boleh melakukan ibadah.
ALLAH Maha Pemurah.  Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hambaNYA.  Dan pahala dariNYA memang DIA sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA.  Konsep ibadah ini terlalu luas.  Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah?  Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan.  :)
ALLAHU A`LAM.


comment peng' post: tiada alasan utk tidak bangun Qiam mengejar lailatulqadar 10 mlm terakhir. Reason? Tah idup lagi ke tidak taun depan tuk Ramadhan. Berusaha!!!! Atleast bukak tafsir, tadabur ayat, kan best gitu~ :) Moga Allah mengira stp usaha kita yuk! 

p/s: maaf zahir dan batin utk semua..