Saturday, October 2, 2010

WIRELESS

“Ketika berdoa,” kata Umar al-Khattab, moga-moga ALLAH senantiasa meredhai dirinya,“aku tidak memiliki obsesi agar doa itu terkabul. Obsesiku hanyalah keinginan untuk mengucapkan doa.”

Sungguh dalam perkataan Khalifah ar-Rasyidin kedua ini. Dalam berdoa, sungguh pun banyak orang melihat betapa berdoa itu adalah permintaan, tetapi kepuasaan seorang Umar justeru bukan kepada ter”makbul”nya doanya itu, tetapi justeru terhadap “pengucapan” doa itu. Hal ini hanya bisa difahami, oleh orang-orang yang melihat betapa doa -bersama-sama ibadah solat- adalah interaksi langsung manusia dengan ALLAH Ta’ala. Jika sebahagian orang memerlukan orang lain –para alim ulamaknya- untuk berbicara, memohon ampun mahupun menyampaikan hajat kepada Tuhannya, kita umat Islam, diberikan kesempatan untuk berbicara langsung dengan ALLAH Ta’ala, tanpa perantara sesiapa pun. “Wireless”. Caranya? Itu, melalui solat dan doa tadi.
 

Seperti orang yang sedang kemaruk cinta. Romeo cukup mendengar suaranya Juliet. Arjuna cukup dapat berbicara dengan Cempaka. Rahul cukup hanya dibebeli Anjali. Beckham cukup dapat berkomunikasi dengan Posh Spice. Kerinduan itu, justeru pada bicaranya, bukan pada contentnya. Wajar, perbualan para pemuda cinta di luar sana, biarpun sering memakan masa yang lama, tetapi isinya seakan tiada nilainya. “Awak makan apa hari ini?” “Berapa bi ji beras awak makan tadi?” “Beras cap gapo deh demo makan?” “I rasa beras yang you makan tu sesuai dengan wajah you la” dan lain-lain perbualan lagha yang sewaktu dengannya itulah, yang memenuhi dialog perbualan panjang lebar mereka.
Barangkali inilah rahsia kebahagian hidup. Tatkala hidup ini sudah mencukupi, tatkala terbinanya hubungan dengan Dia, Ilahi Rabbi. Kerana tatkala ALLAH sudah bersama dengan kita, apa ada dengan dunia dan perhiasannya? Hinggakan permasalahan-permasalahan dan persoalan-persoalan bersifat duniawi, semuanya kelihatan kerdil di mata kita, lantaran persoalan-persoalan dan permasalahan-permasalahan Akhirat, sudah mendominasi syu’ur (perasaan) dan pemikiran kita. Wajar, baginda Nabi SAW di dalam hadith yang diriwayatkan oleh  Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri mengajarkan kita sepotong doa;
“Allahumma inni auzubika minal hammi wal hazan…”
“Ya ALLAH, aku berlindung pada-Mu dari rasa keluh-kesah dan dukacita…”
Kerana itu, tepat sekali pesannya Tuan Guru Nik Aziz, betapa setiap manusia akan diuji. Diuji dari “bidang” yang ia geluti. Maka wajar, musykilahnya para nabi dan pejuang Islam sejati, adalah musykilah-musykilah yang berkaitan dengan dakwah. Yang berkenaan dengan umat. Yang menyangkut bab agama. Bukan kerana kehidupan peribadi mereka tidak pernah teruji, tetapi hati mereka sudah tertaut pada perjuangan nan suci, lalu apalah nilainya permasalahan duniawi, untuk mereka keluh-kesahkan berbanding persoalan perjuangan membela agama Ilahi Rabbi.
Lalu –bak kata Umar- yang berharga di dalam doamu itu adalah doa itu sendiri. Bukan permintaannya. Bukan kepada makbulnya. Tetapi kerinduan dan kecintaan mu berbicara dengan Ilahi Rabbi. Melepas “angau”, pada Rabbul Izati.
Nah, tidak perlu kabel, tidak perlu hardwire, langsung berhubung secara wireless. “ON” kan saja “wifi” dan “Bluetooth”, iaitu solat dan doa, dan berbicaralah sepuas-puasnya dengan DIA. Mengadulah sepuas-puasnga kepada DIA. Lepaskanlah rindumu sepuas-puasnya terhadap DIA. Bukan kena bayar pon…..

0 comments: